Seminggu lagi, aku
akan menikah, tetapi hari ini aku masih di sini, kota besar, sendiri
mengenangkan nasib. Tidak ada wang, tidak ada kereta, tidak ada kerja, tidak
ada apa-apa selain, telefon murah, dan oh... telefon aku juga tidak punya kredit.
Sewa rumah pun belum aku bayar, tetapi aku akan
menikah lagi seminggu. Majlisnya sederhana, bernikah dengan gadis kampung
sebelah, di rumah ibu gadis itu, dan aku tidak kenal lagi siapa gadis itu.
Orang tua aku yang mengaturkannya, dan aku masih terfikir-fikir, mengapa orang
tua gadis itu, sanggup mengahwinkan anaknya dengan seorang lelaki seperti aku.
Aku lelaki yang apabila ditanya apa kerjanya, aku
tidak tahu bagaimana harus menjawab. Aku memang bekerja tetapi, kerja sambilan
di hotel, tolong kawan-kawan yang meniaga online di internet, ada sesekali
mengikuti seminar MLM, dan banyak waktu duduk di rumah sewa, menatap akhbar
mencari kerja.
Lalu, atas sebab apa ibu bapa gadis itu, sanggup
menikahkan anaknya kepada aku, dan hantaran kahwinnya, cuma senaskah Al Quran,
dan mas kahwin cuma RM80.00. Lebih menghairkan, semua kenduri ditanggung oleh
keluarga si gadis.
Mengapa? Bertambah aku tidak mengerti, apabila,
orang tua gadis itu, mengahwinkan aku dengan anak perempuannya yang cantik,
yang bertudung litup. Ya, aku ada melihat gambarnya, dan atas sebab kecantikan
itulah, aku walaupun dengan semua kehairanan itu, aku setuju juga dengan
perkahwinan yang diatur keluarga ini. Ditambah cerita, perempuan itu lulusan
universiti luar negara, berkerja sebagai pegawai kerajaan yang gajinya, cukup
bagi membayar ansuran kereta BMW.
Pada mulanya, aku fikir aku ibarat tikus yang jatuh
ke dalam guni beras, tetapi ketika majlis semakin hampir, aku mula terfikir,
ada perkara yang disembunyikan. Adakah gambar yang diberi sama dengan wajah
aslli perempuan itu? Adakah perempuan itu sebenarnya ibu tunggal? Atau yang
paling menakutkan aku, perempuan itu sedang mengandungkan anak orang lain, dan
aku menjadi 'pak sanggup'. Lalu, daripada sinilah kisah aku ini bermula.
***
Tengah hari itu aku nekad pulang ke kampung. Aku
nekad, menyiasar latar belakang bakal isteri, dan mengapa ibu bapanya, sanggup
melepaskan anaknya kepada lelaki seperti aku. Cuma tidak pasti, apakah cara
untuk menyiasat, dan semasa di dalam bas aku kira beruntung, duduk di sebelah
seorang lelaki yang peramah.
Kepada lelaki itu aku bertanya, “Bagaimana mahu
tahu latar belakang bakal isteri kita?”
“Senang sangat. Kalau dia ada FB, buka FB dia, atau
taip sahaja nama penuhnya di internet. Nanti adalah maklumat tentang dia. Kalau
susah sangat, pergi tempat kerja dia, tanya kawan-kawan dia, atau tanya
jiran-jiran dia.”
Untuk menyiasat tentang tunang aku itu di internet,
nama penuhnya pun aku tidak tahu. Aku cuma diberitahu, namanya, Sarimah. Berapa
ramai orang nama Sarimah di internet? Lalu aku ambil nasihat kedua lelaki itu,
tanya rakan-rakan sekerjanya, dan mujur aku tahu gadis itu bekerja di pejabat
KEMAS di pekan.
Sampai sahaja di kampung, aku pinjam motosikal
ayah, terus ke pejabat KEMAS. Aku tidak tahu apa jawatannya, tetapi pejabat
sebesar itu, berapa ramai sangatlah orang namanya sama. Tetapi agak tidak logik
pula aku terus masuk ke pejabat dan bertanya berkenaan bakal isteri. Lalu
akhirnya aku ambil keputusan menunggu dan memerhati di seberang jalan.
Aku fikir, mungkin pada waktu makan tengah hari,
Sarimah dan wakan-kawannya akan keluar dan, apabila sudah cam wajah
kawan-kawannya, semasa balik nanti boleh tanya tentang Sarimah. Itulah
rancangan aku, rancangan yang diatur kemas. Lalu aku pun duduklah di atas
motosikal menghadap pejabat kemas yang cuma setingkat.
Kemudiannya datang pula rasa menyesal, sebab pada
jam 11 pagi, cuaca sudah terik. Di situ pula belum ada pokok yang rendang,
kerana semuanya baru sahaja dicantas dahannya. Sudah panas terik, pengawal
keselamatan di luar pejabat pula asyik meninjau-ninjau. Bukan pengawal
keselamatan, malah orang yang lalu lalang di situ turut memerhati.
Aku lupa, ini pekan kecil, jadi segala perbuatan
yang bukan kebiasaan akan menjadi perhatian. Perbuatan aku, yang duduk di
hadapan pejabat kemas adalah bukan perkara biasa. Nampak terlalu aneh.
Akhirnya, aku semakin berasa menyesal kerana dari
jauh aku lihat seorang perempuan keluar dari pejabat. Semakin dekat perempuan
itu, semakin aku berasa berdebar. Wajahnya semakin jelas, dengan tudung kuning
cair dan baju kurung biru muda. Dia adalah bakal isteri aku, yang aku cuma
kenal namanya sebagai Saramih. Hanya itu.
Aku fikir, mahu sahaja menghidupkan motosikal dan
kemudiannya terus pergi dari situ tetapi semuanya sudah terlambat apabila
Sarimah berkata, “Awak Salman?”
Aku memberikan senyuman yang paling terpaksa pernah
saya buat. Lebih terpaksa daripada senyum terpaksa apabila bertemu dengan cikgu
semasa sekolah dahulu.
“Ya, saya. Awak boleh cam?”
“Kawan di pejabat yang beritahu, ada lelaki di
sebearang jalan. Mereka mengusik saya, mungkin saya kenal, dan saya mula
perasan wajah awak sama dengan gambar yang emak saya beri.”
Satu pejabat perasan aku menunggu di hadapan
pejabat? Teruk betul cara aku mahu menyiasat. Kemudian pantas aku memerhatikan
wajah Sarimah, dan ternyata wajah aslinya jauh lebih cantik daripada wajah pada
gambar. Mungkin sebab itu gambar pasport. Orang tua dia pun satu, ambillah
gambar lain. Ini tidak gambar pasport anak dia pula. Enhtah-entah, emak ayah
aku pun berikan gambar pasport aku. Ketika itu juga aku rasa berdebar. Sebab,
seingat aku semasa aku bergambar pasport, aku baru sahaja bangun tidur.
Aku perhatikan pula perutnya, tetapi tidak nampak
ada apa-apa tanda perempuan mengandung. Pada ketika aku memerhati itu, aku
perasan dia terus silangkan tangannya di perutnya dan terus aku berasa malu.
Mesti dia perasan aku pandang perutnya, dan entah apalah dalam fikirannya
sekarang.
Kemudiannya, aku perasaan lagi yang Sarimah ini
perempuan yang berani. Berani untuk keluar berjumpa dengan aku. Kalau perempuan
lain, tentu mereka tidak berani. Barulah aku sedar, inilah pertemuan pertama
aku dengan bakal isteri aku. Pertemuan dalam keadaan yang agak aneh.
Selepas pertanyaan itu, kami tiba-tiba diam. Kami
hanya berdiri di tepi jalan raya, sambil memandang ke arah yang sebenarnya agak
aneh untuk dipandang. Aku memandang ke arah pokok dan Sarimah memandang ke arah
motosikal ayah aku.
Aku tahu, ini keadaan yang tidak betul dan aku
sebagai lelaki perlu menunjukkan contoh yang baik kepada bakal isteri aku.
Jadi, selepas puas berfikir dan memberanikan diri, aku berkata, “Sudah makan?”
“Saya diet.”
Nasib baik dia kata dia diet. Bagaimana kalau dia
kata, marilah kita makan, memang aku akan jahanam sebab di dalam dompet aku
cuma ada lima ringgit. Mana cukup. Selepas itu, keadaan kembali sepi.
“Saya mahu masuk pejabat balik,” kata Sarimah sopan
dan membuatkan aku lega.
“Saya pun mahu balik,” balas aku, dan rupa-rupanya
lega aku tidak lama.
“Malam ini jemputlah datang rumah.”
“Datang rumah awak?”
“Ya, makan malam dengan keluarga saya.”
Aku diam. Berdebar-debar.
“Jemputlah sekali ayah dan emak awak kalau mereka
tidak ada halangan.”
“Baiklah, selepas maghrib saya saya sampai.”
***
Sepanjang perjalanan balik aku berasa tidak puas
hati dengan diri aku. Mengapa aku tiba-tiba menjadi kaku. Sepatutnya, pada
waktu itulah aku banyak tanya bagi menyiasat mengapa dia dan keluarga dia
memilih aku.
Cuma malam ini aku berasa sedikit gerun. Alamat
rumah Sarimah, aku boleh tanya ayah aku, tetapi adakah aku patut bawa ayah dan
emak aku sekali? Tidak.. tidak.... Bukannya aku tidak tahu, biasanya kalau emak
ada sekali, habis semua rahsia anak dia ceritakan. Seronok betul cerita rahsia
anaknya.
Lagipula aku ada banyak rahsia yang tidak patut
Sarimah dan emak ayahnya tahu. Rahsia yang aku paling takut emak akan beritahu
adalah, hampir setiap bulan aku masih lagi meminta duit daripada emak aku.
Memang memalukan tetapi untuk pergi seorang diri pula, memang aku tidak yakin.
Akhirnya, aku ada idea paling bernas. Aku terus
melencong ke rumah kawan lama aku, Rudy. Bukan setakat kawan lama, tetapi juga
kawan karib. Aku yakin dia ada di rumah, kerana dia juga senasib dengan aku,
belum ada kerja tetap. Bezanya, dia bertarung hidup di kampung, dan aku
bertarung hidup di kota.
Sampai sahaja di rumah Rudy, aku lihat Rudy sedang
duduk di tangga sambil bermain gitar. Itulah kemahiran Rudy yang aku sangat
cemburu. Aku tidak pandai bermain gitar dan akibatnya.... oh... ada lagi
rupanya kemahiran Rudy yang aku tidak ada. Rudy pandai mengorat gadis dengan
bermain gitar, dan Rudy sangat berani berhadapan dengan perempuan, tidak
seperti aku. Itulah akibatnya, aku tidak ada keyakinan apabila berhadapan
dengan perempuan.
“Lama tak nampak,” kata Rudy sebaik aku duduk di
sebelahnya.
“Taklah lama mana. Baru dua bulan lebih.”
“Lamalah tu.”
Aku diam, dan cuba mendengarkan petikan gitar lagu
rock kapak, 'Suci Dalam Debu'. Aku cuba menyusun ayat, bagi mengajak dia
menemani aku malam ini, tetapi belum ada ayat yang bagus.
“Aku dengar seminggu lagi kau nak kahwin. Kau tak
jemput pun aku,” kata Rudy, dan itu secara tidak langsung memberikan aku jalan
bagi melaksanakan rancangan aku.
“Ini majlis sebelah pihak perempuan, jadi mereka
jempur sebelah perempuan sahaja.”
“Sebelah lelaki bila?”
Aku diam, kerana aku tidak tahu bila. Sebab dengan
kewangan aku sekarang, hidang mi goreng kepada tetamu pun aku tidak mampu.
“Tengoklah. Kalau ada kad aku sampai ke rumah kau,
kau pergilah.”
Rudy semakin merancakkan petikan gitarnya. Kini
lagu Adele pula, 'Someone like you'. Entah mengapa, lagu yang temanya kecewa
sahaja dia mainkan petang ini.
“Dia cantik tak?” Rudy memandang dengan senyuman
penuh berharap.
“Cantik.”
“Macam mana kau jumpa dia?” Senyuman Rudy kini
semakin tinggi harapannya. Harapan jenis apa aku tidak tahu. Mungkin harapan
untuk melihat aku bahagia. Walaupun aku berasa seperti tidak logik pula harapan
itu wujud daripada Rudy.
“Ayah dan emak aku jodohkan. Aku terima sahaja.”
“Kau tidak pernah jumpa dia?”
“Baru tadi.”
“Memang dia cantik?”
“Memang cantik.”
Rudy kini memperlihatkan pula wajah orang yang
sedang gusar dan berfikir panjang.
“Apa kerja dia?”
“Pengawai di KEMAS. Aku tidak tahu jawatannya.
Tetapi emak aku kata, pegawai tinggi juga.”
“Hmm... dia cantik, kerja bagus tetapi dia mahu
kahwin dengan kau. Hairan.”
Aku menelan liur. Nampaknya Rudy juga sudah perasan
sesuatu yang tidak kena. Dia pandang wajah aku.
Rudy menyambung, “Kau pun, bukannya kacak pun.
Hairan-hairan.”
Aku tersenyum pahit. Aku akui, aku memang tidak
kacak dan itu pun sebenarnya merisaukan aku juga.
“Kau tidak hairan?” soal Rudy.
“Memang aku hairan.”
“Kau sudah periksa latar belakang perempuan itu?”
Aku pandang wajah Rudy. Akhirnya peluang aku tiba.
“Malam ini kau ikut aku. Temankah aku ke rumah
tunang aku.”
“Buat apa?” Rudy memandang hairan.
“Dia ajak aku makan malam di sana. Jumpa dengan
ayah dan emaknya. Waktu itu aku fikir baru hendak siasat latar belakangnya.”
“Jadi kau pergilah sendiri.” Rudy kembali
menyambung memetik gitar.
“Kau bukan tidak tahu aku. Aku segan. Aku perlukan
kau temankan aku. Lagipun kau berani, mungkin kau boleh tolong siasat-siasat
juga.”
“Siasat-siasat? Macam mana?”
“Tanyalah apa-apa soalan yang patut. Engkaukah
berpengalaman dalam dunia percintaan. Mestilah tahu.”
Akhirnya selepas lama aku pujuk, Rudy pun setuju.
***
Malam itu, walaupun aku sudah salin alamat daripada
ayah aku, tetap jugalah aku sesat. Aku sampai, selepas isyak, bukannya selepas
maghrib. Aku lihat makanan sudah sedia terhidang di atas meja, dan nampak sudah
sejuk. Mungkin perut Sarimah dan orang tuanya juga sudah lapar.
“Maafkan saya sebab lambat.”
“Tidak mengapa, masuklah,” kata seorang lelaki yang
sebaya ayah aku. Mungkin dia adalah ayah Sarimah dan bakal ayah mertua aku.
“Ooo... inilah Salman. Ayah kamu kata kamu akan
balik lusa, cepat pula kamu balik,” tegur seorang perempuan pula, yang aku
yakin adalah emak Sarimah.
“Ada hal sedikit,” balas aku dan kemudian berkata,
“Kenalkan ini kawan saya Rudy. Emak dan ayah saya tidak dapat datang.”
Kemudiannya, Sarimah keluar dari dapur dengan dan
dia kelihatan sangat cantik. Terpegun aku dan aku sempat melihat wajah Rudy
yang ikut terpegun.
“Untunglah kau,” bisik Rudy.
Selepas makan, kami duduk pula di ruang tamu dan
pada waktu itulah, aku jeling-jeling Rudy supaya mula menjalankan kerjanya.
“Salman beritahu, yang ini kali pertama dia
berjumpa dengan pak cik dan mak cik. Malah dengan Sarimah pun baru semalam
berjumpa,” kata Salman memulakan bicara dan aku mula berdebar-debar.
“Ya, kali pertama berjumpa. Sebelumnya, kami lihat
wajahnya dalam gambar pasport yang emak dia beri,” jawab ayah Sarimah.
Aku semakin berdebar-debar. Emak aku beri gambar
pasport? Ah, sudah! Matilah aku.
“Tidak sangka, orang betulnya, kacak juga,” sambung
emak Sarimah pula.
Aku mula berasa pipi aku panas. Jarang betul orang
puji aku kacak. Kalau puji kacak pun, ada makna di sebaliknya. Entah-entah emak
Sarimah pun cuma mahu menjaga hati.
“Itulah saya hairan. Sebab Salman beritahu, orang
tua dia yang aturkan. Tidak sangka, zaman sekarang masih ada lagi perkahwinan
yang diatur oleh orang tua. Apa rahsianya pak cik?” Rudy memang tidak menunggu
lama. Terus sahaja dia bertanya sambil ketawa-ketawa kecil. Jadi, walaupun
soalan itu serius, tetapi ia nampak seperti bergurau.
“Tidak ada rahsia apapun. Salman tidak beritahu
kamu?”
Rudy pandang aku, kemudian dia padang ayah Sarimah
dan menggeleng.
Terus aku kata, “Sebenarnya saya pun tidak tahu
apa-apa.”
“Kamu tidak tanya ayah dan emak kamu?”
Pada waktu itulah, aku mula berasa menyesal. Ya,
aku tidak tanya pun ayah dan emak aku mengapa dia pilih Sarimah. Yang aku tahu,
emak aku cuma tanya, “Mahu emak carikan kamu jodoh?” Aku pun terus kata,
“Boleh.” Tahu-tahu, dua minggu selepas itu, aku sudah bertunang dan dalam masa
sebulan akan berkahwin. Itupun tunang guna duit emak aku. Memalukan betul.
“Saya tidak tanya.”
Ayah Sarimah mula ketawa kecil.
“Begini, saya dan ayah kamu itu memang sudah lama
kenal. Suatu hari, borak-borak di kedai kopi, kami bercerita tentang anak
masing-masing, kemudiannya terus bercerita berkenaan jodoh, dan akhirnya, terus
kepada rancangan mahu menjodohkan anak masing-masing. Selepas itu, inilah yang
terjadi,” jelas ayah Sarimah.
“Begitu sahaja pak cik? Mudahnya!” Rudy nampak
terkejut, dan aku pun sebenarnya agak terkejut juga. Ya, mudahnya.
Emak dan ayah Sarimah hanya tersenyum lebar.
Ayahnya berkata, “Tidaklah semudah itu. Kami pun
mahu yang terbaik untuk anak bongsu kami. Kami pun ada siasat latar belakang
Salman.”
“Jadi pak cik tahu yang Salman ini menganggur dan
tidak ada duit?” soal Rudy dan membuatkan aku geram tetapi dalam masa yang sama
berasa sangat malu. Tiba-tiba aku berdoa supaya tubuh aku menjadi kecil, supaya
senang aku menyorok bukan sahaja muka, tetapi seluruh tubuh aku di balik
bantal.
“Tahu,” jawab ayah Sarimah sambil ketawa kecil
lagi.
“Jadi?” Rudy menyoal sambil memusingkan tangan
kanannya. Aku dapat agak Rudy sebenarnya mahu kata, “Jadi, mengapa masih pilih
Salman?” Mungkin kerana tidak sampai hati, dia cuma buat isyarat tangan sahaja.
Ya, aku tahu betul sebab sudah lama aku kenal Rudy.
“Itulah yang diberitahu oleh ayahnya. Katanya, anak
dia tidak kacak, tidak ada kerja tetap, dan malah, bulan-bulan masih minta duit
daripada emaknya. Tetapi, daripada situlah pak cik tahu, Salman ini akan
menjadi suami yang baik.” Ayah Sarimah tidak lagi tersenyum, sebaliknya
memandnag aku dengan wajah serius. Aku pula terus tunduk malu. Malunya aku.
Rupa-rupanya mereka sudah tahu yang aku ini minta duit bulan-bulan daripada
emak aku.
“Jadi?” Rudy sekali lagi menggerak-gerakkan
tangannya.
“Ayahnya juga memberitahu, anak dia akan menelefon
kampung, paling kurang dua kali seminggu. Dan, walaupun dia tidak ada pekerjaan
tetap, kerjanya pun tidak menentu dengan gaji yang kecil tetapi setiap kali
mendapat gaji, ayahnya memberitahu, dia tidak pernah lupa memberikan sedikit
kepada emaknya. Walaupun cuma RM50. Jadi, bayangkan walaupun hampir tiap-tiap
bulan dia tidak cukup duit, tetapi dia masih ada perasaan bagi membantu orang
tua. Itulah namanya tanggungjawab!”
Aku tergamam. Aku sebenarnya tidak menyangka ayah
aku menceritakan perkara itu juga kepada ayah Sarimah.
“Ooo... tanggungjawab,” Hanya itu kata Rudy sambil
mengangguk-angguk
Ayah Sarimah menyambung, “Tanggungjawab itu, bukan
bermakna apabila kita kaya sahaja kita perlu ada tanggungjawab. Tanggungjawab
itu adalah sesuatu yang kita pegang semasa kita susah dan semasa kita senang.
Lalu, dalam rumahtangga, bukan selamanya senang. Lebih banyak masa susahnya.
Jadi, pak cik akan berasa lega, kerana tahu anak pak cik berada dalam tangan
lelaki yang bertanggungjawab.”
“Betul juga pak cik. Lagipun Salman ini, setahu
saya dia tidak pernah tinggal sembahyang dan tidak ada girlfriend sebab takut
perempuan,” tambah Rudy yang membuatkan aku tersipu-sipu. Tidak sangka Rudy
memuji aku.
“Sembahyang itulah perkara utama yang pak cik tanya
daripada ayah dia, dan girlfriend pun pak cik ada tanya.” Ayah Sarimah kembali
ketawa kecil.
“Susah mahu cari orang seperti pak cik pada zaman
ini. Zaman sekarang, semua mahu menantu kaya,” tambah Rudy lalu aku nampak
wajahnya tiba-tiba murung. Mungkin dia sedang bercerita tentang dirinya secara
tidak sedar.
“Semasa pak cik mengahwini ibu Sarimah, hidup pak
cik pun susah. Pak cik juga orang susah, cuma bekerja sebagai kerani, sedangkan
ibu Sarimah itu anak orang kaya kampung. Alhamdulillah, keluarga isteri pak cik
jenis yang terbuka. Lalu, mengapa pak cik tidak memberi peluang kepada orang
yang susah, sedangkan pak cik dahulu pun diberi peluang. Yang utama, sebab dia
susah bukan kerana dia malas, tetapi belum sampai rezeki. Besar bezanya, orang malas
dengan orang yang belum ada rezeki. Kalau susah sebab duduk rumah dan tidur
berguling-guling, memang pak cik tidak terima juga,” jelas ayah Sarimah dengan
panjang lebar.
Aku berasa mula sedikit lega. Tidak sangka betul
aku, begitu fikiran ayah dan emak Sarimah. Perlahan-lahan, perasaan malu aku
itu mula berkurang. Perlahan-lahan juga, curiga aku kepada Sarimah ikut
berkurang.
“Anak pak cik pun hebat juga. Dia ikut kata pak
cik. Zaman sekarang, biasanya semuanya sudah ada boyfriend dan girlfriend,”
kata Rudy. Aku tahu, Rudy juga sedang memasang umpan bagi mengetahui latar
belakang Sarimah pula. Aku kembali berdebar-debar.
“Alhamdulillah. Pak cik sangat bersyukur diberi
anak sebegitu. Mulanya, pak cik khuatir juga, tetapi selepas seminggu, Sarimah
kata setuju. Cuma pak cik tidak tahu sebab apa dia setuju, mungkin Salman boleh
tanya dia sendiri selepas nikah nanti,” kata ayah Sarimah, lalu dia, isterinya
dan Rudy ketawa bersama. Tinggal aku dan Sarimah sahaja yang duduk terdiam-diam
malu. Sempat aku menjeling Sarimah, dan bertanya dalam hati, “Mengapa kamu
setuju dengan lelaki seperti aku?'
***
Alhamdulillah. Allah permudahkan kerja kami. Aku
sudah sah menjadi suami kepada Sarimah, dan selepas bersalaman dengan Sarimah,
gentar dan malu aku kepada Sarimah mula berkurang. Malah aku mula memanggil
dia, 'sayang'. Lalu selepas kenduri, kini aku dan Sarimah sudah berada di dalam
bilik, berdua-duan untuk pertama kalinya.
Aku masih ingat pertanyaan aku dalam hati, pada
malam aku bertemu ayah dan emak Sarimah. Kini pertanyaan dalam hati itu aku
luahkannya dengan lidah, “Sayang, mengapa sayang setuju untuk bernikah dengan
lelaki seperti abang? Lelaki yang belum tentu masa depannya, dan mungkin juga
membuat sayang derita.”
Tidak sangka, pertanyaan melalui lidah aku menjadi
lebih panjang dan detail pula berbanding pertanyaan dalam hati.
Sarimah yang waktu itu sedang duduk malu-malu,
memandang aku lalu menyalami tangan aku, dan berkata, “Ampuni Sarimah bang,
ampuni Sarimah.”
Aku mula berdebar-debar dan tidak sedap hati.
“Ampuni apa sayang?”
“Sebab, Sarimah sebenarnya sempat curiga juga
dengan abang. Sarimah sempat tidak yakin dengan abang. Malah Sarimah minta
tolong kawan Sarimah, yang kebetulan tinggal berhampiran abang di kota supaya
menyiasat latar belakang abang. Malah, Sarimah juga solat iskhtikarah hanya
kerana ragu-ragu kepada abang.”
Debar aku kembali menurun. Rupa-rupanya, Sarimah lebih
dahulu menyiasat latar belakang aku? Malunya aku. Tetapi sekarang dia sudah
jadi isteri aku, lalu aku angkat kepalanya
dan pandang ke arah matanya.
“Abang ampunkan. Abang pun minta maaf, sebab abang
pun pernah juga berasa curiga kepada sayang.”
Sarimah tersenyum. Bukan senyum manis biasa, tetapi
senyuman seorang perempuan yang bahagia, dan senyuman itu sangat ajaib kerana
ikut membuatakan aku berasa bahagia. Mungkin inilah perasaan, bahagia yang
datang daripada kelakuan kita yang membahagiakan orang lain. Tetapi persoalan
aku tadi masih belum terjawab sepenuhnya.
“Jadi, apa kata kawan sayang?” lanjut aku mahu
tahu. Risau juga kawan dia cakap yang bukan-bukan.
“Katanya, abang ini kerja tidak tetap. Motosikal
pun pinjam motosikal kawan, tetapi katanya dia sentiasa melihat abang membaca
ruangan akhbar mencari kerja, menghantar surat, dan sentiasa memeriksa peti
surat. Maksudnya, abang ini seorang yang rajin berusaha. Katanya lagi, dia
tidak pernah nampak abang keluar dengan mana-mana perempuan. Solat pun abang
buat berjemaah di surau.”
Aku mula tersipu-sipu. Jadi bagi mengelak lebih
tersipu-sipu, aku bertanya, “Tetapi orang secantik sayang takkan tidak ada
orang mahu. Pasti ramai yang mahukan sayang, dan mungkin pasti juga yang ada
sudah menghantar rombongan meminang.”
Sarimah sekali lagi tersenyum.
“Ya, memang ramai lelaki yang cuba dekat dengan
Sarimah, tetapi Sarimah sangat takut. Sebab, teringat kepada kakak Sarimah?”
“Mengapa dengan kakak, sayang?” soal aku segera.
Sarimah pun bercerita panjang lebar, dan tahulah
aku yang kakak dia sudah meninggal. Kakak Sarimah dahulu juga seorang perempuan
cantik, dan ramai lelaki yang mahukan dia. Akhirnya, dia kahwin dengan lelaki
pilihan hatinya sendiri. Lelaki yang kacak, berpelajaran tinggi, dan bekerja yang
gajinya lumayan. Sayangnya, selepas setahun berkahwin, suami kakaknya mula
berubah kerana belum mendapat anak. Mula balik lewat dan sering marah-marah.
Malah, apabila suami kakaknya dibuang kerja kerana
krisis ekonomi, hidup mereka menjadi susah dan, suami kakaknya juga semakin
besar perubahannya. Dia sudah tidak balik berhari-hari, apabila balik pula,
hanya bagi meminta wang, marah-marah dan memberi sepak terajang. Kemudian
pecahlah rahsia, rupa-rupanya suami kakaknya itu sudah ada perempuan lain. Lalu
pada hari itu, dengan hati yang kusut, kakak Sarimah gagal mengawal keretanya
lalu kemalangan dan meninggal dunia. Akhir ceritanya itu, terus aku genggam
tangan Sarimah erat-erat.
“Sebab itulah, Sarimah takut bagi menerima
mana-mana lelaki dalam hidup Sarimah. Malah, Sarimah juga sebenarnya sudah
mengamanahkan ayah dan ibu mencari lelaki yang sesuai untuk Sarimah. Biar tidak
kaya, biar tidak kacak, tetapi lelaki itu mampu membahagiakan hidup dengan
kasih-sayang dan mendamaikan hati dengan agama.”
Akhirnya, semuanya sudah jelas. Mengapa ayah dan
ibu Sarimah memilih lelaki seperti aku, dan mengapa Sarimah menerima aku dalam
hidupnya. Genggaman tangan aku semakin kuat.
“Abang... jaga Sarimah. Jaga dan mohon jangan
lukakan hati Sarimah. Mohon bang,” rayu Sarimah dan aku anmpak matanya mula ada
air mata yang berkolam, dan kemudiannya air itu tumpah. Segera aku menyeka air
mata Sarimah.
“Abang, bukan lelaki terbaik, dan abang tidak mampu
berjanji menjadi suami yang terbaik untuk sayang. Abang cuma mampu berjanji,
abang berusaha menjadi lelaki yang terbaik itu, dan berusaha menjadi suami yang
terbaik untuk sayang,” kata aku perlahan, dan Sarimah terus memeluk aku, dan
aku perasan, bahu aku sudah basah dengan air mata Sarimah.